Thursday, May 31, 2007

KAEDAH EFEKTIF UNTUK PENYIMPANAN WANG

oleh
Mohammad Syafiq Bin Masduki

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

PENDAHULUAN

Simpanan merupakan kaedah ataupun sistem pertahanan paling ampuh dalam pengurusan kewangan. Pengukuhkan terhadap sistem pertahanan ini perlu dilakukan sebelum melakukan sebarang aktiviti pelaburan (menyerang) seperti menceburkan diri dalam bidang perniagaan, pembiayaan kos- kos kritikal seperti perubatan dan pendidikan, menyara keluarga, pembayaran hutang lapuk dan sebagainya.

Selain itu, tanpa kita nafikan cabaran- cabaran ekonomi masa kini seperti kenaikan harga barang, kadar inflasi yang tidak menentu, korupsi yang semakin menjadi- jadi dan pengurusan kewangan negara yang tidak telus telah mendesak kita supaya menyiapkan diri dengan persediaan yang serapi mungkin bukan sahaja untuk kebaikan kita tetapi juga untuk kesejahteraan generasi akan datang.

Simpanan memang mudah untuk diperkatakan tetapi sangat sukar dan payah untuk dilaksanakan. Ini kerana tindakan ini memerlukan kesedaran yang tinggi, komitmen dan kesabaran yang berterusan sebelum mencapai hasil yang diinginkan kelak. Cuma segelintir daripada kita sahaja yang berjaya menyimpan secara konsisten.

PUNCA DAN PERMASALAHAN


Persoalan yang ingin ditimbulkan di sini tidak berniat untuk merendahkan mana- mana individu, masyarakat mahupun komuniti. Apa yang ingin disampaikan dan dibincangkan adalah untuk kesedaran dan kebaikan bersama. Perlu diakui bahawa kekuatan dan kestabilan ekonomi merupakan salah satu aspek yang perlu difikirkan di era globalisasi ini. Siapa yang tidak mahu bebas daripada belenggu kewangan seperti melangsaikan hutang piutang, menjalankan dan melancarkan gerak kerja organisasi lebih- lebih lagi gerak kerja Islam, membantu meningkatkan taraf pendidikan dan sebagainya? Wang bukan segala- galanya tetapi semua perkara yang disebutkan di atas sangat- sangat mengkehendakkan wang.

Sikap terlalu boros dalam berbelanja sering menjadi halangan terbesar kepada seseorang individu daripada menyimpan. Tidak salah untuk berbelanja tambahan pula untuk tujuan- tujuan penting seperti makan minum, pakaian dan pendidikan. Namun strategi perbelanjaan yang bijak sangat perlu bagi memastikan simpanan dapat dijalankan walaupun sedikit. Elakkan daripada menggunakan sumber kewangan yang terhad untuk tujuan- tujuan yang tidak penting seperti menonton wayang, membeli rokok dan membeli makanan ringan kerana tindakan ini boleh menyebabkan seseorang itu berbelanja di luar kawalan dan seterusnya mengundang kepada fenomena ’lari budget’.

Selain daripada sikap boros, sering kedengaran hujah bahawa jumlah pendapatan yang kononnya ’cukup makan’ menjadi halangan kepada seseorang untuk berjimat cermat dan menyimpan. Sebenarnya orang yang bijak adalah orang yang tidak memikirkan nasibnya untuk masa yang singkat tetapi lebih penting lagi memikirkan nasib yang akan menimpa pada masa- masa mendatang. Apa guna duit yang banyak tetapi hanya dihabiskan untuk bersuka ria tanpa memikirkan keperluan- keperluan di masa hadapan? Dalam konteks agama, Islam sentiasa mengajar umatnya untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi hari kematian dan pembalasan. Simpanan terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan amal ibadah yang soleh dan sentiasa menjauhi kemungkaran.

KAEDAH PENYIMPANAN


Ramai di kalangan kita yang ingin mencapai kekayaan mahupun kemewahan dengan jalan yang singkat tanpa memikirkan sama ada kaedah yang dilakukan itu baik atau buruk, halal atau haram, berkesan atau tidak dan sebagainya.

Antara kaedah atau tip terbaik untuk memulakan simpanan secara konsisten ialah dengan mengambil contoh sistem simpanan yang kita lakukan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bagaimana kita menyimpan wang kita di KWSP? Sejumlah wang iaitu sebanyak 11% (kadar potongan gaji pekerja biasa) daripada gaji kita akan dipotong dan dimasukkan ke dalam akaun KWSP. Proses ini akan berterusan setiap bulan sehingga mencapai tempoh yang telah ditetapkan sebelum wang tersebut boleh dikeluarkan semula. Maka kaedah inilah cara yang terbaik untuk menyimpan.

Antara langkah yang perlu kita lakukan ialah:

1. Tetapkan peratus simpanan yang perlu dilakukan setiap bulan. Mulakan dengan peratus kecil dahulu dan tambahkan dari masa ke semasa bergantung kepada jumlah pendapatan dan jumlah perbelanjaan bulanan. Contohnya mulakan dengan 10 %.

2. Buka akaun yang TIDAK mempunyai kad ATM. (Sebagai contoh akaun Tabung Haji). Kita juga boleh menggunakan akaun bank-bank lain dan jangan meminta kemudahan kad ATM. Ini bagi menghalang kita daripada mengeluarkan wang simpanan kita dengan sewenang- wenangnya. Sekiranaya kita mempunyai lebih daripada satu akaun bank, kita boleh memilih salah satu daripada akaun bank tersebut untuk tujuan simpanan semata- mata.

3. Gunakan kemudahan online banking untuk memudahkan urusan memindahkan wang dengan cepat dan serta merta khusunya bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk memasukkan wang. Walaupun anda dikenakan RM2 setiap transaksi. Anda akan mendapati ia berbaloi bila melihat hasil simpanan anda kelak. Antara kemudahan online banking yang boleh digunakan ialah www.maybank2u.com.my (Maybank) dan www.cimbclicks.com.my (CIMB Bank).

Contoh penyimpanan:
Peratus simpanan yang ditetapkan = 10%
Gaji semasa (Bulanan) = RM 1500
Jadi simpanan bulanan = RM150 sahaja
Jumlah simpanan dalam 2 tahun = RM 150 x 24 bulan
= RM 3600

Bagaimana sekiranya tempoh simpanan 5 tahun??

Jumlah ini boleh digunakan di masa kita benar- benar memerlukan wang seperti membiayai kos perubatan, memulakan perniagaan kecil- kecilan, menyambung pengajian, membayar kos persekolahan anak- anak atau adik- adik dan melangsaikan hutang lapuk.
Disiplinkan diri untuk tidak mengeluarkan wang simpanan ini. Cuba cari pilihan lain dahulu dan pengeluaran wang simpanan adalah pilihan yang terakhir.

KESIMPULAN

Sebagai konklusinya, ayuhlah kita sedari bahawa membebaskan diri daripada belenggu kewangan juga merupakan suatu jihad andai kata masalah ini mampu mengundang kecelaan, kemelaratan dan keburukan kepada kita. Sesungguhnya musuh- musuh Islam telah lama menggunakan dan memanipulasikan kekuatan ekonomi yang mereka ada untuk menentang seterusnya menjahanamkan Islam dan pengikutnya. Mudah- mudahan dengan sedikit kesedaran dan peringatan ini mampu membawa perubahan yang positif kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan agama Islam yang tercinta. Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka terlebih dahulu mengubah nasib mereka sendiri. Berusahalah untuk berubah..

Wallahu’alam

No comments: