Thursday, May 31, 2007

KAEDAH EFEKTIF UNTUK PENYIMPANAN WANG

oleh
Mohammad Syafiq Bin Masduki

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

PENDAHULUAN

Simpanan merupakan kaedah ataupun sistem pertahanan paling ampuh dalam pengurusan kewangan. Pengukuhkan terhadap sistem pertahanan ini perlu dilakukan sebelum melakukan sebarang aktiviti pelaburan (menyerang) seperti menceburkan diri dalam bidang perniagaan, pembiayaan kos- kos kritikal seperti perubatan dan pendidikan, menyara keluarga, pembayaran hutang lapuk dan sebagainya.

Selain itu, tanpa kita nafikan cabaran- cabaran ekonomi masa kini seperti kenaikan harga barang, kadar inflasi yang tidak menentu, korupsi yang semakin menjadi- jadi dan pengurusan kewangan negara yang tidak telus telah mendesak kita supaya menyiapkan diri dengan persediaan yang serapi mungkin bukan sahaja untuk kebaikan kita tetapi juga untuk kesejahteraan generasi akan datang.

Simpanan memang mudah untuk diperkatakan tetapi sangat sukar dan payah untuk dilaksanakan. Ini kerana tindakan ini memerlukan kesedaran yang tinggi, komitmen dan kesabaran yang berterusan sebelum mencapai hasil yang diinginkan kelak. Cuma segelintir daripada kita sahaja yang berjaya menyimpan secara konsisten.

PUNCA DAN PERMASALAHAN


Persoalan yang ingin ditimbulkan di sini tidak berniat untuk merendahkan mana- mana individu, masyarakat mahupun komuniti. Apa yang ingin disampaikan dan dibincangkan adalah untuk kesedaran dan kebaikan bersama. Perlu diakui bahawa kekuatan dan kestabilan ekonomi merupakan salah satu aspek yang perlu difikirkan di era globalisasi ini. Siapa yang tidak mahu bebas daripada belenggu kewangan seperti melangsaikan hutang piutang, menjalankan dan melancarkan gerak kerja organisasi lebih- lebih lagi gerak kerja Islam, membantu meningkatkan taraf pendidikan dan sebagainya? Wang bukan segala- galanya tetapi semua perkara yang disebutkan di atas sangat- sangat mengkehendakkan wang.

Sikap terlalu boros dalam berbelanja sering menjadi halangan terbesar kepada seseorang individu daripada menyimpan. Tidak salah untuk berbelanja tambahan pula untuk tujuan- tujuan penting seperti makan minum, pakaian dan pendidikan. Namun strategi perbelanjaan yang bijak sangat perlu bagi memastikan simpanan dapat dijalankan walaupun sedikit. Elakkan daripada menggunakan sumber kewangan yang terhad untuk tujuan- tujuan yang tidak penting seperti menonton wayang, membeli rokok dan membeli makanan ringan kerana tindakan ini boleh menyebabkan seseorang itu berbelanja di luar kawalan dan seterusnya mengundang kepada fenomena ’lari budget’.

Selain daripada sikap boros, sering kedengaran hujah bahawa jumlah pendapatan yang kononnya ’cukup makan’ menjadi halangan kepada seseorang untuk berjimat cermat dan menyimpan. Sebenarnya orang yang bijak adalah orang yang tidak memikirkan nasibnya untuk masa yang singkat tetapi lebih penting lagi memikirkan nasib yang akan menimpa pada masa- masa mendatang. Apa guna duit yang banyak tetapi hanya dihabiskan untuk bersuka ria tanpa memikirkan keperluan- keperluan di masa hadapan? Dalam konteks agama, Islam sentiasa mengajar umatnya untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi hari kematian dan pembalasan. Simpanan terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan amal ibadah yang soleh dan sentiasa menjauhi kemungkaran.

KAEDAH PENYIMPANAN


Ramai di kalangan kita yang ingin mencapai kekayaan mahupun kemewahan dengan jalan yang singkat tanpa memikirkan sama ada kaedah yang dilakukan itu baik atau buruk, halal atau haram, berkesan atau tidak dan sebagainya.

Antara kaedah atau tip terbaik untuk memulakan simpanan secara konsisten ialah dengan mengambil contoh sistem simpanan yang kita lakukan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bagaimana kita menyimpan wang kita di KWSP? Sejumlah wang iaitu sebanyak 11% (kadar potongan gaji pekerja biasa) daripada gaji kita akan dipotong dan dimasukkan ke dalam akaun KWSP. Proses ini akan berterusan setiap bulan sehingga mencapai tempoh yang telah ditetapkan sebelum wang tersebut boleh dikeluarkan semula. Maka kaedah inilah cara yang terbaik untuk menyimpan.

Antara langkah yang perlu kita lakukan ialah:

1. Tetapkan peratus simpanan yang perlu dilakukan setiap bulan. Mulakan dengan peratus kecil dahulu dan tambahkan dari masa ke semasa bergantung kepada jumlah pendapatan dan jumlah perbelanjaan bulanan. Contohnya mulakan dengan 10 %.

2. Buka akaun yang TIDAK mempunyai kad ATM. (Sebagai contoh akaun Tabung Haji). Kita juga boleh menggunakan akaun bank-bank lain dan jangan meminta kemudahan kad ATM. Ini bagi menghalang kita daripada mengeluarkan wang simpanan kita dengan sewenang- wenangnya. Sekiranaya kita mempunyai lebih daripada satu akaun bank, kita boleh memilih salah satu daripada akaun bank tersebut untuk tujuan simpanan semata- mata.

3. Gunakan kemudahan online banking untuk memudahkan urusan memindahkan wang dengan cepat dan serta merta khusunya bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk memasukkan wang. Walaupun anda dikenakan RM2 setiap transaksi. Anda akan mendapati ia berbaloi bila melihat hasil simpanan anda kelak. Antara kemudahan online banking yang boleh digunakan ialah www.maybank2u.com.my (Maybank) dan www.cimbclicks.com.my (CIMB Bank).

Contoh penyimpanan:
Peratus simpanan yang ditetapkan = 10%
Gaji semasa (Bulanan) = RM 1500
Jadi simpanan bulanan = RM150 sahaja
Jumlah simpanan dalam 2 tahun = RM 150 x 24 bulan
= RM 3600

Bagaimana sekiranya tempoh simpanan 5 tahun??

Jumlah ini boleh digunakan di masa kita benar- benar memerlukan wang seperti membiayai kos perubatan, memulakan perniagaan kecil- kecilan, menyambung pengajian, membayar kos persekolahan anak- anak atau adik- adik dan melangsaikan hutang lapuk.
Disiplinkan diri untuk tidak mengeluarkan wang simpanan ini. Cuba cari pilihan lain dahulu dan pengeluaran wang simpanan adalah pilihan yang terakhir.

KESIMPULAN

Sebagai konklusinya, ayuhlah kita sedari bahawa membebaskan diri daripada belenggu kewangan juga merupakan suatu jihad andai kata masalah ini mampu mengundang kecelaan, kemelaratan dan keburukan kepada kita. Sesungguhnya musuh- musuh Islam telah lama menggunakan dan memanipulasikan kekuatan ekonomi yang mereka ada untuk menentang seterusnya menjahanamkan Islam dan pengikutnya. Mudah- mudahan dengan sedikit kesedaran dan peringatan ini mampu membawa perubahan yang positif kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan agama Islam yang tercinta. Ingatlah bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka terlebih dahulu mengubah nasib mereka sendiri. Berusahalah untuk berubah..

Wallahu’alam

Wednesday, May 23, 2007

:: Al- Quran sebagai teman ::



"Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al - Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya"

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran
adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah.

Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa "Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya"

Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami
antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan
Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata : "Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam
keadaan apa sekalipun.

Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya
sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" .Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata:"Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat.

Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini,engkau tidak akan berasa dukacita lagi"
Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan
untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari
malaikat-malaikat dari syurga.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah
kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan
mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut
adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan - amalan kita sewaktu di dunia. Allah telah menjanjikan Al - Quran sebagai pemberi syafaat
terulung dan Allah itu adalah benar. Dekatilah Al - Quran dan
jadikalah ia teman di dunia dan pemberi syafaat di Akhirat. Semoga Allah swt memberikan kita restu dan hidayahnya..... AMIN!!!

Thursday, May 17, 2007

:: Malam pertama di alam kubur ::

10 Wasiat Imam Syafie

Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

PERTAMA : HAK KEPADA DIRI.

Iaitu : Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA : HAK KEPADA MALAIKAT MAUT.

Iaitu : Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR.

Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT : HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR.

Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT).

Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT).

Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA).

Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA).

Iaitu : Berasa redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI S.A.W

Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT

Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

# Marilah kita bersama- sama mempersiapkan diri untuk menempuhi malam pertama ini.

:: Terima kasih duhai guru- guruku ::

Selamat Hari guru (16 Mei 2207 ) buat seluruh warga pendidik. Ikhlas luhur bakti kalian mendidik kami semua agar menjadi insan berguna untuk agama, bangsa dan tanah air tercinta.

petikan bait- bait sajak hasilan Usman Awang....

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama’ yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Profesor petah bersyarah
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini seorang Doktor pakar segala
Jika hari ini seorang Akauntan hebat kira-kira
Jika hari ini seorang Eksekutif syarikat ternama
Jika hari ini seorang Jurutera yang berjaya
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca!

Untuk mereka yang bergelar IBU


Sekalung penghargaan buat para ibu. Jasa kalian tiada tolok gantinya. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Teruskan usaha untuk mendidik generasi- generasi Islam agar terbinanya sebuah kesatuan Taqwa yang utuh.